Pages

Tuesday, April 12, 2011

murahnya cinta!!

 Saya pernah mengenali seorang wanita yang amat dicintai seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Lelaki itu, secara terang-terangan menyatakan sangat tertarik dengan perwatakan wanita tersebut walaupun tanpa melihat sendiri wajah wanita itu. Si wanita menjadi bingung. Keliru kerana dicintai dan disayangi oleh lelaki yang tidak langsung dikenali. Tetapi si wanita itu tidak pula menolak cinta dan sayang lelaki itu. Si wanita masih seperti dulu. Melayan perbualan leleki itu hampir setiap malam. Berkongsi pelbagai suka dan duka dalam kehidupan. Daripada tidak mempunyai perasaan sayang terhadap lelaki itu, wanita itu akhirnya sedar yang dalam diam beliau turut mempunyai rasa yang sama seperti lelaki itu. Namun atas desakan hati dan ego yang meninggi, si wanita masih lagi menidakkan perasaannya. Beliau sebenarnya keliru. Beliau bingung. Beliau tidak pasti. Wanita itu merasakan yang dia tidak layak untuk lelaki itu kerana berasa rendah diri dengan dirinya. Wanita itu merasakan bahawa beliau tidak cukup sempurna untuk lelaki itu. Maka beliau sentiasa cuba untuk lari daripada perasaannya sendiri.
       Namun lelaki itu masih lagi menagih kasih dan sayang wanita itu. Berkali-kali lelaki itu menyakinkan wanita tersebut yang cinta dan sayangnya tidak akan pernah berubah walau apapun jua bentuk fizikal wanita itu. Lelaki itu dengan penuh yakinnya menyatakan bahawa akan tetap terus menunggu selama mana pun hanya untuk memiliki cinta dan sayang wanita itu. Wanita itu berfikir. Berhari-hari wanita itu berfikir tentang lelaki itu. Memikirkan segala kata-kata dan janji manis yang diucapkan oleh lelaki itu. Masih cuba menyakinkan diri sendiri bahawa apa yang diperkatakan oleh lelaki tersebut adalah benar-benar ikhlas dan tidak berpura-pura dalam menyintainya. Namun begitu masih juga terselit perasaan takut dan curiga dihati wanita itu. Wanita itu takut lelaki itu akan berubah hati apabila melihatnya nanti. Dan perkara itu telah pun disuarakan wanita itu kepada lelaki itu dan lelaki itu dengan tegasnya berkata,”saya tetap tunggu awak sehingga awak benar-benar menerima saya dan walau apapun keadaan awak saya tetap menerimanya,”.
        Wanita itu masih lagi berfikir. Berfikir dan terus berfikir. Masih lagi mempertimbangkan di dalam hatinya sama ada mahu menerima atau tidak lamaran lelaki itu. Setelah lama berfikir dan membiarkan si lelaki menunggu kata putus daripada wanita itu, maka si wanita itu bercadang untuk memberitahu lelaki itu bahawa dia juga sangat menyayangi dan mencintai lelaki itu. Wanita itu sangat teruja untuk menyatakan perasaan dan isi hatinya kepada lelaki itu. Wanita itu ingin berkongsi khabar gembira itu secepat mungkin dengan lelaki itu. Namun, impian dan angan-angan wanita itu seperti hampir tidak menjadi kenyataan. Dalam pada wanita itu berkobar-kobar dengan perasaannya, si lelaki semakin jauh daripada wanita itu. Wanita itu kembali bingung. Kembali memikirkan apa punca dan sebab lelaki itu bersikap dingin terhadapnya. Wanita itu cuba bertanya tetapi lelaki itu masih lagi mendiamkan diri. Masih lagi membiarkan persoalan yang berada dibenak wanita itu tergantung tanpa adanya jawapan.
       Dunia wanita itu kembali sepi. Kembali sunyi tanpa lelaki itu. Oleh kerana desakan hati yang cukup kuat, wanita itu cekalkan diri untuk menghadapi sendiri lelaki itu. Hati wanita itu memberontak untuk mendapatkan jawapan yang pasti daripada lelaki itu. Apakah yang sebenarnya bermain di benak lelaki itu. Adakah wanita itu sudah tidak langsung mempunyai tempat dihati lelaki itu. Adakah benar lelaki itu telah membuang terus wanita itu dari hidupnya. Adakah lelaki itu benar-benar telah lupa tentang apa yang pernah dikata dan dijanjikan terhadap wanita itu? Wanita itu bertanya dengan penuh emosi,”kenapa? Kenapa awak lain sangat? Kenapa awak bukan macam lelaki yang saya kenal dulu? Kenapa awak seperti melarikan diri daripada saya?. Wanita itu bertanya dan terus bertanya. Namuan wanita itu hampa. Lelaki itu masih lagi cuba berselindung. Wanita itu masih lagi tidak berputus asa. Wanita itu masih lagi mahu mendengar apa yang berada di fikiran lelaki itu. Wanita itu sedih, kecewa dan menangis.
     
Dalam saat-saat wanita itu hampir mengaku kalah, si lelaki bertanya,”kenapa awak nampak lain daripada apa yang saya bayangkan? Kulit awak tidak putih. Awak kelihatan seperti ‘sunburn’. Awak betul-betul nampak lain. Tidak sama seperti yang saya bayangkan,”. Wanita itu terkedu. Wanita itu terdiam. Nah….akhirnya apa yang pernah wanita itu fikirkan menjadi kenyataan. Apa yang wanita itu risaukan akhirnya berlaku juga. Wanita itu kembali membawa lelaki itu mengingati setiap kata-kata dan janji setia yang pernah lelaki itu ucapkan padanya dahulu. Di mana janji-janji untuk menerima wanita itu seadanya? Di mana kata-kata yang hampir saban malam disogokkan dipendengaran wanita itu, bahawa lelaki itu sangat mencintai wanita itu seadanya tanpa memandang langsung terhadap kekurangan fizikal wanita itu. Wanita itu terdiam lagi. Lelaki itu juga begitu. Masing-masing berdiam diri. Lama.
       Akhirnya wanita itu bersuara,”saya sudah jangkakan ini semua akan berlaku. Awak tipu. Awak berpura-pura. Awak hanya pentingkan fizikal semata-mata. Bila awak lihat saya tidak cantik seperti wanita lain, awak terus mahu tinggalkan saya. Bila awak lihat saya GEMUK, awak terus larikan diri daripada saya. Awak sebenarnya tidak pernah menyayangi saya. Awak hanya tertipu dengan perasaan awak sendiri. Awak malu untuk mengaku yang wanita GEMUK ini teman wanita awak. Awak malu mengaku wanita GEMUK ini wanita yang pernah awak sayangi saban hari. Awak tinggalkan saya kerana saya GEMUK. Awak sakitkan saya kerana saya gemuk. Awak kecewakan saya kerana sayaGEMUK. Awak menghina saya kerana saya GEMUK. Sampai hati awak………..
        Wanita itu terus berlalu. Menangis semahunya untuk melepaskan rasa kecewa. Namun wanita itu tidak terus hanyut dengan perasaan sendiri. Wanita itu bangkit. Wanita itu berdiri. Wanita itu mahu bangun untuk menunjukkan bahawa dia bukanlah wanita yang lemah dan mudah diperkotak-katikkan. Wanita itu yakin walaupun dia gemuk dan kurang serba serbi namun dia perlu berbangga kerana dia masih dikurniakan kepintaran dan rakan-rakan yang menyayanginya seadanya…dan wanita itu yakin yang bahagia pasti tetap ada untuknya. Mungkin bukan sekarang tapi itu bukan penamat untuk segalanya bagi wanita itu.
       Apa yang anda fikirkan setelah membaca cerita tentang wanita itu? Adakah anda mahu mengatakan bahawa wanita itu sangat bodoh kerana menyintai dan menyayangi lelaki yang tidak pernah mahu menghargai langsung wanita itu atau lelaki itu yang sebenarnya bodoh kerana menolak wanita itu hanya disebabkan kekurangan fizikal lantaran gemuk walaupun wanita itu cukup cantik hati budinya untuk dijadikan teman hidup? Bagi saya, gemuk bukan penamat segalanya. Biarkan lelaki itu terus dengan angan-angan mat jeninnya. Biarkan lelaki itu pergi mencari kekasih hati yang cantik jelita persis ratu dunia. Biarkan lelaki itu pergi mencari kebahagiaan yang diidam-idamkannya. Mungkin bahagia yang dicari adalah apabila bergandingan dengan wanita yang menawan dan jelita sahaja. Biarkan lelaki itu terus hidup dengan dunianya.
       Wanita itu tidak seharusnya merasa lemah. Wanita itu harus kuat. Jangan sekali-kali terbit di fikiran wanita itu tentang kekurangan yang dimiliki. Wanita itu perlu tanamkan di dalam diri bahawa “walaupun aku gemuk, aku masih sama seperti wanita lain di luar sana. Aku masih boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan wanita-wanita di luar sana. Jadi apa yang perlu aku risaukan. Bahagia pasti akan datang walupun mungkin tiba agak lewat. Yang penting yakin menjadi kunci utama kebahagiaan”.
       Jadi bagi wanita-wanita di luar sana, jangan biarkan hidup anda diselubungi kesedihan dan kekecewaan akibat daripada masalah kegemukan ini. Fikirlah secara positif yang anda sebenarnya cantik seperti wanita lain. Hanya insan-insan yang bertuah sahaja yang akan dapat menilai kecantikan sebenar anda. Jadi…ayuh bangun..motivasikan diri sendiri. Jika mereka boleh, anda juga pasti boleh.

1 comment:

Sakinah said...

xsume lki pandanng pd luaran shja... ikhlaskan diri dan org lain akan dapat lihat kecantikan dalaman ssorg itu....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...